MERAIKAN KELAHIRAN RASULULLAH SALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM

>> Wednesday, March 4, 2009

Segala puji dan puji hanya buat Allah, Tuhan seluruh alamraya dan selawat serta salam buat Nabi dan RasulNya Muhammad dan kaum keluarganya dan para sahabat. Didalam agama Islam terdapat dua perayaan besar yang disebut sebagai hari Raya ataupu 'Id iaitu, 'Idil-adha dan 'Idil-fitri. Perayaan lain yang terdapat didalam agama Islam, seperti Maulidurrasul bukan merupakan satu kewajiban tetapi ia tidaklah pula dilarang untuk menyambutnya. Pada zaman ini terdapat banyak suara-suara yang mempertikaikan tentang sambutan Maulidurrasul dan ia menjadi fokus perdebatan dan perbalahan, walaupun sebenarnya, banyak lagi isu penting yang perlu ditangani oleh umat Islam. Zaman ini merupakan zaman dimana musuh-musuh Islam sedang melakukan operasi besar-besaran untuk menghancurkan ummat Muhammad, daripada dalam mahupun daripada luar tanpa perasaan belas kasihan dan amat sedikit sekali bilangan orang-orang yang beriman yang dapat mempertahankan ummah ini daripada serangan-serangan ini. Zaman ini merupakan zaman jahiliyyah Ummat Islam, sehinggakan kebenaran amat jarang sekali dan kebatilan merupakan perkara yang biasa dan diterima umum. Firman Allah kepada orang-orang yang beriman,"Berpeganglah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai" (Ali-Imran: 103). Pada zaman ini serangan musuh bukanlah satu-satunya penyebab penderitaan ummat Islam. Dikalangan kita sendiri - ummat Islam - ada musuh dalam Islam, tidak perlulah kita sebut siapa mereka kerana ianya telah pun diketahui umum. Musuh dalam selimut ini, tidak pula suka untuk menyerang musuh-musuh Islam yang sebenar tetapi sebaliknya, mereka menyebarkan pula permusuhan dan perpecahan dikalangan ummat Islam diseluruh dunia. Oleh itu saya rasa ini merupakan tanggungjawab saya untuk melindungi mereka yang beriman daripada serangan mereka ini, yang tidak ada kerja lain, selain mencari kesalahan saudara sendiri. Mereka berkerja bertungkus lumus untuk menaikkan rasa syak wasangka dan was-was kepada perkara-perkara yang sahaja mereka timbulkan agar ianya menjadi satu yang kontroversi dan seterusnya, menuduh saudara sendiri sebagai musyrik, kafir, dan mubtadi'. Mereka pula dengan senang-senangnya merubah pendapat-pendapat ulama-ulama yang terdahulu, yang selama 1400 tahun dianggap sahih dan benar oleh semua ummat Islam dan menamainya sebagai bid'a, syirik dan kufur!

Membesarkan Maulidurrasul samalah seperti kita membesarkan Islam kerana Rasulullah (s.a.w) umpama simbol bagi agama Islam. Imam Mutawalli Sha'rawi telah menuli didalam kitab beliau, Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya (ms. 295),"Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w) dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira dan semua jinn Islam bergembira diatas kelahiran baginda (s.a.w), kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w)?"

Oleh itu, untuk melindungi orang-orang awam Muslim dan Mukmin daripada tuduhan-tuduhan yang tidak boleh diterima, terutama sekali di Amerika dan Kanada, yang tidak mempunyai ramai ulama' yang boleh menjawab orang-orang yang jahil ini adalah penting untuk mengetahui mengenai kedudukan keadaan yang sebenarnya. Sebenarnya kedudukan perkara ini melibatka persoalan khilaf (perbezaan pendapat para ulama') sahaja dan tiada siapa yang merubah pendapat para ulama' yang muktabar kecuali orang-orang yang jahil dan para pembuat bida'ah. Insyaallah, kita akan memberi fakta dan nas serta dalil yang berkaitan dengan Maulidurrasul yang berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah serta ijma' para ulama, agar dengan niat ini, semoga ianya menjadi jawapan kepada kritikan-kritikan dan persoalan-persoalan para "ulama" yang jahil yang berpura-pura mahir dalam agama dan semoga ilmu ini dapat dikongsi bersama - ilmu yang Allah beri kepada ulama' yang benar dan semoga Allah merahmati para ulama' yang benar ini. Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi ingin saya kemukakan 3 kenyataan:

1. Kami mengatakan bahawa menyambut Maulidurrasul (s.a.w) adalah dibolehkan. Perkumpulan yang dilakukan untuk memperdengarkan Sirah (kisah hidup) dan 'Madh' (puji-pujian) buat Rasulullah (s.a.w) adalah juga dibenarkan, begitu juga dengan kebiasaan menjamu tetamu dan menggembirakan saudara seUmmah adalah dibenarkan dan digalakkan.

2. Meraikan Maulidurasul (s.a.w) bukan sahaja terhad pada 12 hb. Rabi'ul al-Awwal tetapi ianya patut dilakukan pada setiap hari dalam setiap bulan di setiap masjid agar orang ramai dapat merasakan cahaya Islam dan Shari'a didalam hati-hati mereka.

3. Majlis sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan peluang keemasan yang berkesan dan efisyen untuk menyebarkan Islam dan mendidik anak-anak kita, yang tidak patut diabaikan oleh para ulama dan da'I, untuk mengajar dan mengingatkan Ummah mengenai Rasulullah (s.a.w) dan akhlaq baginda yang mulia, cara baginda beribadah dan cara baginda baergaul dengan orang ramai. Cara ini boleh memupukkan perasaan cinta dan sayang serta sentiasa mengingati Rasul (s.a.w) pada hati kanak-kanak. Pemberian makanan serta minuman dan hadiah juga akan membuatkan mereka merasa gembira menyambut hari tersebut.

Dalil daripada Al-Quran dan Sunnah yang Mengatakan bahawa Menyambut Hari Kelahiran (s.a.w) adalah diterima oleh Shari'a.

Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasulullah (s.a.w). Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31)

Read more...

JASAMU DIKENANG...


DR HABIB BIN MAT SOM SEDANG BERSEMANGAT MENYAMPAIKAN CERAMAH PERSONALITI GURU DI BUKIT LAGONG.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Dr. Habib bin Mat Som selaku penceramah dlm slot bengkel personaliti guru di Bkt Lagong. segala apa yang dicurahkan oleh Dr Habib insyaAllah akan kami manfaatkan. Justeru itu, apa yg boleh penulis nukilkan di sini( hasil dari bengkel tersebut), yang bakal bergelar Ustaz dan Ustazah coming soon, seharuslah menjaga dan membentuk personaliti kita mulai pada saat ini. Personaliti bermaksud sebagai suatu susunan pola-pola tingkah laku seseorang individu yang dijelmakan dalam kehidupan. Pola-pola tersebut di praktikkan dalam kehidupan seharian. Personaliti seseorang adalah unik berbanding personaliti individu yang lain walaupun berada dalam lingkungan persekitaran yang sama. Pada umumnya, ciri-ciri personaliti individu tetap dalam sesuatu jangka masa yang tertentu. Perwatakan tersebut dapat di kesan dan diperhatikan dengan jelas pada situasi yang tertentu..So. secara ringkasnya personaliti pelajar akan terbentuk melalui personaliti guru. Bak kata pepatah kepimpinan memalui teladan. selamat berjaya

Read more...

MENOLAK USAHA MENERUSKAN PELAKSANAAN PENGAJARAN SAINS, MATEMATIK DAN TEKNOLOGI DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI) DI PERINGKAT SEKOLAH HINGGA IPT


1. Pengendalian Persidangan Meja Bulat anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang cuba mendapatkan pandangan tentang PPSMI telah dilaksanakan secara “tidak adil” dan “laporannya” dalam akhbar juga “mengelirukan”. Tiga daripada lima orang pembentang bukannya berbicara tentang PPSMI tetapi tentang kepentingan menguasai bahasa Inggeris yang tidak pun dinafikan oleh kami. Kami bimbang akan kemunculan watak-watak “pembesar” seperti dalam cerita “Maharaja dengan Baju Barunya” yang hanya mengiyakan bahawa baju raja cantik walaupun raja sebenarnya tidak berbaju. Lagipun semasa hendak mengubah ke bahasa Inggeris dahulu tiada meja bulat pun dan tidak pun ditimbulkan tentang kesan ekonomi perbukuan bahasa Melayu. Apakah meja bulat ini hanya untuk mengaburi mata orang ramai saja kerana pengerusinya tidak dapat membuat kesimpulan secara objektif dan tepat. (Contoh pertemuan 27 Ogos 2008 yang lalu – rujuk The Star dan Utusan Malaysia 28.8.08 dan catatan wakil ASASI di www.prihatin.net).
2. Bagaimana pemimpin kerajaan boleh mempertahankan tindakan yang terang-terang melanggar Akta? Tindakan ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Kononnya dua mata pelajaran tetapi ternyata kini bahawa sebenarnya lebih 80% kursus di sekolah menengah dan IPT telah diajar dalam bahasa Inggeris. Ini adalah benar dan bukannya andaian palsu. Apabila ini sudah berlaku maka Akta mungkin akan dipinda atas alasan fait accompli dan hancurlah bahasa Melayu. Soalan “adakah kita mahu meneruskan PPSMI atau tidak” sebenarnya samalah maknanya dengan soalan “adakah kita mahu meneruskan usaha menghancurkan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi?” (rujuk Siri Bicara Bahasa Bil.15, 2002 terbitan PLM & DBP).
3. Kajian yang “lebih” jujur dan tidak berkepentingan oleh pelbagai pihak termasuk oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron dan kajian Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin di bawah payung UKM-DBP misalnya menunjukkan mereka yang di bandar dan mereka yang dari keluarga yang berpendapatan tinggi mendapat manfaat dari PPSMI manakala majoriti pelajar luar bandar lebih terdera. Dengan PPSMI jurang antara bandar dan luar bandar semakin melebar. Yang menjadi mangsa pasti majoritinya Melayu kerana mereka kira-kira 70% penduduk luar bandar dan ini amat tidak adil kerana mereka dinafikan pendidikan berkualiti.
4. Tujuan seluruh usaha ini ialah untuk meningkatkan penguasaan BI pelajar. Tetapi ini telah dilakukandengan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya tinggi. Penyelesaian ini seperti kata pepatah Melayu, lain yang luka lain yang dibebat. Tidak pernah dibuktikan di mana-mana di dunia, mengajar sains dan matematik boleh meningkatkan penguasaan bahasa. Pelaksanaan PPSMI di negara bekas jajahan British di Afrika dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Perancis di negara bekas jajahan Perancis di Afrika tidakpun memajukan negara tersebut, malah tinggal mundur dan miskin walaupun bahasa negara termaju digunakan. Hanya Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand wajar melaksanakan PPSMI.
5. Kemungkinan besar tindakan ini untuk menutup kegagalan Kementerian dalam usaha mencari kaedah yang sesuai untuk mengajar bahasa Inggeris. Tegasnya Kementerian mestilah mencari kaedah mengajar bahasa Inggeris yang sesuai dan berkesan.
6. Kerajaan mestilah belajar dari pengalaman. Dalam tahun 60-an Kerajaan telah “mengusir” keluar tulisan jawi daripada bilik darjah. Akibatnya 40 tahun kemudian akhbar tulisan jawi menjadi tidak lagi berdaya maju, menjadi sisipan saja kepada akhbar tulisan rumi. Sekarang kerajaan sekali lagi “mengusir” keluar bahasa Melayu daripada bilik darjah “sains dan teknologi”. Kemungkinan besar 40 tahun lagi akhbar berbahasa Melayu tidak akan berdaya maju dan akan menjadi sisipan saja kepada akhbar Inggeris dan Mandarin. Pada waktu itu bahasa Melayu bukan lagi bahasa ilmu dan budaya tinggi. Sejarah akan mendera kita lagi.
7. Gesaan kami agar pihak berkuasa mengembalikan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah berjaya dan dipersetujui bersama-sama. Kembalikanlah kewibawaan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini sebagai penghantar sains, matematik dan teknologi di sekolah rendah, sekolah menengah dan di IPT. Jika pertukaran dilakukan di peringkat sekolah rendah sahaja, dan/atau sehingga di sekolah menengah sahaja, akan hanya merupakan tindakan “melepas batuk di tangga”. Bahasa Melayu tetap hancur di negaranya sendiri. Kesan negatif akibat PPSMI telah melarat-larat dengan keghairahan pemimpin besar dan kecil sehingga menghina dan memperkecil bahasa rasmi/bahasa kebangsaan dalam semua aspek kehidupan di negara ini sebagai bahasa rasmi, ilmu dan perhubungan di negara ini sehingga DBP pun seolah-olah sudah “mati” dan tidak berwibawa lagi.
8. Malaysia bukan England, bukan Amerika, bukan India, bukan Taiwan, bukan Singapura. Malaysia adalah Malaysia yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu yang sejarahnya bermula sejak sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Kembalikanlah bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kita seperti sebelum tahun 2003. Kepemimpinan Melalui Teladan. Hormatilah keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara, (Rukun Negara ke-3 dan ke-4).
9. Rancangan untuk menjadikan keputusan UPSR pada tahun ini sebagai salah satu penentu penerusan PPSMI juga amat tidak logik dan membelakangi ilmu perancangan pendidikan. Bahasa Melayu tetap hancur dan musnah akibat PPSMI, keputusan dan angka juga boleh berubah-ubah dan soalan juga masih dwibahasa.
DENGAN INI KAMI MAHASISWA/I SEBAHAGIAN BESARNYA MEMANG MEMBANTAH PPSMI SEJAK URA-URA HENDAK DILAKSANAKAN PADA TAHUN 1996 DAHULU LAGI ( MANIFESTO BUDAYA PUPUS BAHASA PUPUSLAH BANGSA, 1996, PLM:KL DAN BUKU MENGAPA KAMI BANTAH SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS, ABDULLAH HASSAN, PTM:KL) MENDESAK LAGI SEKALI SUPAYA PPSMI YANG DILAKSANAKAN SEKARANG INI DIBERHENTIKAN SERTA-MERTA DAN KEMBALI KEPADA DASAR SEBELUM 2003.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP